Perutusan Imam






Segala puji- pujian  kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kerana diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di laman blog Masjid Sematang Gunung ini. Masjid adalah rumah Allah dan juga pusat pembentukan masyarakat yang dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan syiar Islam. Masjid tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja, seperti ibadat solat, sebaliknya, konsep dan falsafah masjid yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW, merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia. 
Sebagai contoh, Masjid Nabawi di Madinah, adalah menjadi nadi kepada keutuhan masyarakat dan negara Islam pertama, pusat perpaduan dan lambang kekuatan Islam. 
Ahli masyarakat pula hendaklah menyokong dengan sokongan yang padu. Setiap yang baik sama-sama kita majukan dan setiap yang buruk sama-sama kita hapuskan. Inilah falsafah hidup yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat semenjak baginda membina Masjid Qubaa' di awal abad perkembangan Islam, yang perlu kita contohi.

Sebagai mewakili Ahli Jawatan Kuasa Kariah Masjid Sematang, saya mengharapkan pandangan, teguran dan cadangan yang bernas dan membina dari seluruh anak-anak kariah dapat memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan kualiti pentadbiran, layanan dan perkhidmatan dengan lebih berkesan dari masa ke semasa. Untuk memakmur dan memasyarakatkan masjid, kita perlu kepada usaha yang gigih dan perancangan yang rapi. 

Kita hendaklah menjadikan masjid ini kepada dua keadaan : 

1-    Menjadikan masjid mempunyai daya penarik kepada orang ramai supaya berminat  
     berkunjung ke masjid.  
Semua pihak bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja tempat ibadat yang selesa, tetapi kebersihan persekitaran dan keceriaan yang menarik, indah, kemas, tenang dan damai.

2- Menjadikan masjid yang mana kewujudannya menyinari hidup masyarakat disekitar. Mereka 
    yang susah dikenalpasti dan diusahakan bantuan. 
Mereka yang jarang datang ke masjid akan dapat merasakan kehadiran mereka ke masjid tertarik menerusi keramahan dan kemesraan ahli jawatankuasanya. 
Setiap tuturkata dan tindak-tanduk para aktivis masjid perlulah sentiasa disandarkan kepada kesedaran bahawa kita sedang menjalankan amanah dan tanggungjawab dakwah. Setiap ahli kariah atau para jemaah lebih-lebih lagi para pegawai dan jawatankuasa masjid,hendaklah sentiasa mendukung penyuburan serta pengembangan Budaya Toleransi dan Budaya Perdamaian seperti yang digariskan di dalam Visi dan Misi Masjid Sematang. Antaranya ialah: - 
1-    Sentiasa beramah mesra, hormat-menghormati di antara satu dengan lain serta halus budi bicara.   
2- Berfikiran terbuka dan jujur. 
3- Mengenal keaiban diri dan menutup keaiban orang lain. 
4- Sentiasa menekankan kecemerlangan.
Marilah kita bina kebangkitan ummah, bermula dari masjid, dengan menyediakan segala kemudahan pembangunannya secara bersama-sama. Semua ahli masyarakat di sekitar Kampung Sematang mempunyai peranan masing-masing mengikut kemampuan. Yang berilmu membantu dengan kepandaiannya, yang kaya membantu dengan kewangannya, yang kuat membantu dengan tenaganya.


Akhirnya, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sokongan dan dokongan daripada ahli kariah sekalian yang telah memberi sumbangan dalam bentuk idea, masa, tenaga, kewangan dan sebagainya selama ini kepada Masjid Sematang. 
Moga-moga segala sumbangan dan bantuan serta usaha murni yang telah dan akan kita berikan kepada masjid Sematang ini akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT serta tergolong sebagai amal-amal soleh. 

Daripada, 
Ustaz Ishak Bin Haji Aziz 
Imam
Masjid Sematang Gunung


Tiada ulasan:

Catat Ulasan